Sabtu, 10 Mei 2014

Herba...

Manusia menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai punca makanan dan perubatan semenjak zaman dahulu lagi. Segala pengalaman dan pengetahuan diturunkan melalui mulut ke mulut dan di warisi turun temurun. Namun begitu, apabila dunia semakin moden manusia mencari penemuan baru. Kini, setelah puas disogok pelbagai bahan tiruan, manusia kembali kepada asal iaitu alam semulajadi.

Perubatan tradisional berkait rapat dengan sejarah sosio budaya manusia. Setiap masyarakat di dunia ada sejarah perubatan asli tersendiri. Di Malaysia, perubatan tradisional terbahagi tiga iaitu Melayu/Orang Asli, Cina dan India. Perubatan Cina berasaskan Confucius, India Ayurveda manakala Melayu campuran budaya Hindu, Arab dan Orang Asli. Walaubagaimanapun, semuanya ada ciri sepunya iaitu bahan mentahnya berasal dari tumbuhan.

Bahagian tumbuhan yang lazim digunakan ialah akar, batang, daun, ranting, buah dan juga keseluruhan pokok. Lazimnya ia berbentuk kasar seperti akar kayu yang dikeringkan atau bentuk segar yang direbus dan diminum airnya. Hanya segelintir diproses, seperti jamu, makjun dan minyak urut/urat.


Contoh Herba :


Serai


Pokok ini lazim ditanam untuk kegunaan masakan. Selain penambah perisa, ia mampu menaikkan aroma masakan. Dipercayai daunnya yang ditumbuk lumat apabila dipupuk pada dahi mampu meredakan sakit dan ketegangan kepala. Malah bisa-bisa badan atau sengal sendi-sendi mampu diubati melalui cara itu. Air perahan serai berkesan mengalak gigitan nyamuk apabila disapu pada kulit. Mereka yang tidak lawas membuang air kecil boleh minum air rebusan daun dan akar serai. Malah ia mencegah perut daripada kembung. Pati akarnya boleh digunakan sebagai pewangi untuk syampu rambut serta mewangikan pakaian.



Asam Gelugur


Sejenis pokok yang ditanam bagi mendapatkan buahnya. Rasa buah asam gelugur yang masam menjadikannya antara bahan penting untuk memasak. Asam gelugur juga diguna untuk menyembuhkan kesan demam selsema. Dalam kajian terbaru dunia perubatan, pengkaji mengenal pasti dan mengasingkan bahan kimia yang dihasilkan daripada asam gelugur untuk diguna dalam penghasilan ubat antitekanan darah tinggi.



Dukung Anak


Pokok yang tumbuh di tepi-tepi jalan dan serata tempat lapang ini banyak khasiat dan rahsia. Air dan rebusan pokok ini diminum, mampu mengubati penyakit cirit-birit. Malah kajian sains membuktikan ia mampu menurunkan tekanan darah tinggi. Perahan air daripada pokok ini juga dikatakan mujarab mengubati kudis dan luka. Bagi mengelakkan anak kecil dijangkiti penyakit demam kuning (jaundice), ambil secekak pokok ini dan masak dengan sedikit susu kambing. Pokok Dukung Anak juga sering direbus bersama tebu hitam, pegaga dan gula batu untuk dijadikan ubat penawar sakit dada mereka yang menghidap sakit batuk berdarah.

Koleksi buku di PPTG...Call. no. 615.321

Berikut adalah sebahagian koleksi buku di Perpustakaan Digital Tasek Gelugor. Bagi anda yang sedang mencari buku berkenaan herba ini bolehlah datang ke Perpustakaan yang berdekatan dengan tempat anda....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan